Temenggong Daeng Ibrahim
Daeng Ibrahim menggantikan ayahanda Baginda Temenggong Abdul Rahman yang telah mangkat pada 8 Disember 1825 sebagai Temenggong Johor. Dengan kebijaksanaan Baginda di samping mendapat kepercayaan penuh daripada Inggeris, pemerintahan Johor diserah kepada Temenggong Daeng Ibrahim daripada Sultan Ali melalui Persetiaan 10 Mac 1855. Dengan ini bermulalah Kesultanan Johor moden dibawah pemerintahan Dinasti Temenggong. Hasrat British yang ingin menjadikan Johor sebagai kawasan pedalaman yang banyak membantu pertumbuhan Singapura sebagai pusat perdagangan antarabangsa, telah membolehkan Temenggong Ibrahim menjadikan Johor sebagai pusat pengeluaran lada hitam dan gambir melalui Sistem Kangchu Cina dan Sistem Buruh Kontrak Jawa.
Tahun 1855 merupakan titik permulaan pemodenan Johor, Temenggong Ibrahim membuka Iskandar Puteri sebagai Pusat Pemerintahan Johor dengan mendirikan balai polis, mahkamah dan jabatan-jabatan lain secara berperingkat. Usaha untuk memajukan Johor bermula dengan mewujudkan keamanan dengan menghapuskan kegiatan pelanunan dan memajukan pelajaran anak-anak Melayu.
Temenggong Daeng Ibrahim mangkat pada 31 Januari 1862 dan dimakamkan di Makam Temenggong di Teluk Belanga, Singapura.
Sultan Abu Bakar
Sultan Abu Bakar diputerakan pada 3 Februari 1833 apabila Temenggong Daeng Ibrahim mangkat pada 1862, Abu Bakar dilantik sebagai Dato’ Temenggong Sri Maharaja Johor, dan pada tahun 1868 dipendekkan kepada gelaran Maharaja sesuai dengan taraf Baginda dikalangan antarabangsa. Baginda berjaya mengukuhkan kedaulatan dan ketuanan Johor apabila secara rasmi Kesang diletakkan di bawah pemerintahan Baginda pada tahun 1877. Melalui Perjanjian Setia 1885, Maharaja Abu Bakar dan waris-waris Baginda yang menyusuli diiktiraf oleh Inggeris memakai gelaran Sultan Johor. Berikutan Perjanjian Setia, Baginda menubuhkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Terdahulu dari itu pada tahun 1866, Baginda menukarkan nama bandar Iskandar Puteri kepada Johor Bahru. Pada tahun 1871, Baginda mereka semula bendera Negeri Johor serta bendera peribadi raja.
Bandar Johor Bahru dan Negeri Johor terus dimajukan, dan Dato’ Jaafar Muhammad dilantik sebagai Menteri Besar Johor pertama. Pelbagai Jabatan Kerajaan ditubuhkan seperti Jabatan Perbendaharaan, Polis, Penjara, Jabatan Tanah dan Ukur, Kerja Raya, Jabatan Laut, Johor Arsenal, Perubatan, Pos dan Pelajaran. Pada 14 April 1895, Sultan Abu Bakar memasyhurkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang merupakan Negeri Melayu pertama mengadakan undang-undang itu. Perladangan lada hitam dan gambir dimajukan dengan membawa masuk peladang Cina dan buruh Jawa. Pada tahun 1883 Jabatan Pelajaran ditubuhkan untuk memajukan pelajaran anak-anak Melayu Johor. Baginda telah dimahkotakan pada tahun 1886 dengan memakai mahkota yang Baginda sendiri ilhamkan. Dalam istiadat itu Baginda menzahirkan Darjah Kerabat dan Darjah Mahkota Johor. Mahkota dan darjah kebesaran itu menjadikan Johor negeri pertama berbuat demikian.
Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim diputerakan pada 17 September 1873 bersamaan 25 Rejab 1290 di Istana Bidadari Singapura. Sejak kecil Baginda telah diberi penuh asuhan dan pimpinan sebagai bakal raja. Ketika berusia 17 tahun, Baginda mula didedahkan dengan pengetahuan dunia luar oleh ayahanda Baginda Sultan Abu Bakar dan menitahkan Baginda berangkat ke Eropah pada Jun 1890. Sultan Ibrahim ditabalkan menjadi Sultan Johor pada 7 September 1895. Untuk meluaskan pengetahuannya sebagai pemerintah Johor, baginda berulang kali berangkat ke Eropah, Jepun, China dan Amerika Syarikat.
Pada tahun 1908 ketika pemerintahan Baginda, jalan kereta api merentasi Negeri Johor dapat disiapkan, sementara Tambak Johor yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura, telah siap dibina pada tahun 1924. Baginda Sultan Ibrahim sangat mengambil berat hal pendidikan dengan menitahkan pelajaran wajib kepada semua kanak-kanak melalui Enakmen Pelajaran Wajib 1902. Baginda Sultan juga sangat mengambil berat terhadap perkembangan Bahasa Melayu. Baginda telah berkenan menjadi penaung kepada Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku DiRaja (P.B.M.P.B Di-Raja) Johor. Pendidikan Agama Islam dimajukan dengan membina sekolah agama dan masjid. Pada 2 Februari 1900, Masjid Abu Bakar dirasmikan pembukaannya. Lagu ‘Bangsa Johor’ dijadikan lagu rasmi negeri yang dinyanyikan dalam majlis rasmi dan di sekolah.
Walaupun Baginda menerima tekanan Inggeris melantik D.G Campbell pada tahun 1910 sebagai Penasihat, Baginda menetapkan diberi gelaran Penasihat Am dan bukan ‘Resident Adviser‘ sebagaimana negeri-negeri lain, dan dipersyaratkan pegawai-pegawai melayu diberikan sama taraf dengan pegawai Inggeris, dan bahasa Melayu dijadika bahasa rasmi kerajaan dengan penekanan kepada tulisan jawi. Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan yang menempatkan jabatan-jabatan kerajaan siap dibina pada tahun 1941. Pada 17 September 1955, telah diadakan sambutan Jubli Intan bagi memperingati 60 tahun Baginda memerintah Negeri Johor. Baginda mangkat di London pada hari Jumaat, 8 Mei 1959 dan dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah Johor Bahru.
Sultan Ismail
Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim diputerakan pada 28 Oktober 1894 di Istana Semayam, Johor Bahru. Pada 7 September 1895, Baginda dilantik menjadi Tunku Mahkota Johor, dan dimasyhurkan perlantikannya sebagai Sultan Johor apabila Paduka Ayahandanya mangkat di London pada 8 Mei 1959. Baginda telah dimahkotakan pada 10 Februari 1960. Sultan Ismail mula menerima pendidikan Melayu dan Inggeris di Johor Bahru dan kemudian meneruskan pendidikan Baginda di England bersama dua orang adindanya dan Onn Jaafar pada tahun 1904. Pada tahun 1910 Baginda kembali ke Johor meneruskan pelajarannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Pada 1913, sekali lagi Baginda berangkat ke London untuk mempelajari tentang pentadbiran negeri.
Semasa pemerintahan Baginda Sultan Ismail, Negeri Johor menjadi maju dan makmur. Sebelum ditabalkan menjadi sultan, Baginda telah beberapa kali dilantik menjadi Pemangku Raja dan berupaya melaksanakan pemerintahan dan tugas penting . Baginda telah merasmikan Kongres Melayu pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru yang membawa kepada penubuhan UMNO. Sultan Ismail telah menerima tabik hormat perarakan raksasa menyambut kemenangan Inggeris memerintah semula Tanah Melayu pada 8 Jun 1946 di Jalan Ibrahim, Johor Bahru, setelah Jepun menyerah kalah.
Ketika menjadi Sultan, Baginda sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan Negeri Johor, antaranya ialah Penubuhan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Projek Johor Barat, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Pelabuhan Pasir Gudang. Lapangan Terbang di Senai, mula beroperasi pada tahun 1973. Bagi memajukan Agama Islam, Majlis Agama Islam juga ditubuhkan ketika pemerintahan Baginda. Baginda mangkat pada 10 Mei 1981 bersamaan 6 Rejab 1401 H dan dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah Johor Bahru.






No comments:
Post a Comment