DYMM SULTAN JOHOR
DULI YANG MAHA MULIA SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR
D.K (JOHOR), D.K (PERAK), D.K (KELANTAN), D.K. (PERLIS), D.K (SELANGOR), D.K (NEGERI SEMBILAN),
D.K (TERENGGANU), D.K.M.B. (BRUNEI), S.P.M.J, S.S.I.J, S.P.M.T, S.M.N, S.P.M.K, S.P.M.P, P.I.S
SULTAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA’ZIM
Diputerakan pada 22 November 1958 Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dididik dan diasuh untuk menjadi seorang Raja yang cerdik, berpengetahuan, berwibawa dan berdaulat. Tuanku mengikuti jejak langkah kesultanan sebelum baginda dengan melibat diri dalam aktiviti ketenteraan, pengurusan dan pentadbiran yang dijadikan asas untuk membina semangat juang, disiplin, kepimpinan dan perwatakan. Kepimpinan Tuanku terserlah apabila setelah tamat persekolahan Tuanku dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi. Kemudiannya di atas jemputan khas Tuanku mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan untuk pegawai muda di Fort Benning, Georgia USA. Selain dari itu Tuanku juga menjalani latihan ‘airborne‘ dan ‘ranger‘ untuk pegawai infantri. Selepas berehat dua bulan, Tuanku meneruskan latihan ‘American Special Forces‘ dan ‘Pathfinder’ dimana Tuanku telah membuat 19 terjunan payung terjun, lapan darinya pada waktu malam. Tuanku dipilih dan ditauliahkan sayap dan dijadikan sebagai seorang komando. Tuanku juga ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera laut dan darat).
Tunku Ibrahim dilantik sebagai Waris apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar menaiki takhta kerajaan Johor dan dimasyurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981. Mulai 25 April 1984 hingga 25 April 1989 Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang DiPertuan Agong. Tuanku memanfaatkan tempoh sebagai Pemangku Raja untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan urusan negeri serta berdamping dengan rakyat.
Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.
Tuanku mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan dikurniakan lima orang putera dan puteri, iaitu:
- DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
- YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim
- YAM Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor
- YAM Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor
- YAM Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor
- YAM Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor
Tunku Ibrahim dilantik sebagai Waris apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar menaiki takhta kerajaan Johor dan dimasyurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981. Mulai 25 April 1984 hingga 25 April 1989 Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang DiPertuan Agong. Tuanku memanfaatkan tempoh sebagai Pemangku Raja untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan urusan negeri serta berdamping dengan rakyat.
DYMM RAJA ZARITH SOFIAH
DULI YANG MAHA MULIA RAJA ZARITH SOFIAH BINTI ALMARHUM SULTAN IDRIS SHAH AL MUTAWAKKIL ALALLAHI SHAH
DK. (Johor), SPMJ. (Johor), SPCM. (Perak)
Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Al Mutawakkil Alallahi Shah diputerikan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak. Tuanku ialah puteri kedua dan anakanda ketiga kepada pasangan diraja D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak Almarhum Paduka Seri Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah dan D.Y.M.M. Raja Perempuan Perak, Almarhum Raja Perempuan Muzwin Binti Almarhum Raja Dato’ Sri Ariff Shah.
DYMM Raja Zarith menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Datin Khadijah Kuala Kangsar hingga darjah enam. Seterusnya, Baginda meneruskan pendidikan menengahnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom Kuala Kangsar. September 1972, Tuanku telah melanjutkan pengajiannya di Cheltenham Ladies College di England hingga tamat Tingkatan Enam.
DYMM Raja Zarith Sofiah telah meneruskan pengajiannya di Davies College, London pada tahun 1977. Pada tahun 1978, telah diterima masuk ke Somerville College, Universiti Oxford setelah lulus peperiksaan Oxford dengan mendapat Ijazah Bachelor of Arts pada tahun 1983.
Tuanku Zarith Sofiah mendirikan rumah tangga bersama DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang ketika itu Tunku Mahkota Johor. Majlis akad nikah berlangsung di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada 22 September 1982. Manakala Majlis Persandingan berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Perak pada 12 September 1983 dan Majlis Persandingan di Johor Bahru pada 19-20 September 1983. Ketika melangsungkan perkahwinan, umur Baginda 23 tahun. Hasil perkahwinan itu, pasangan diraja ini dikurniakan 6 orang cahaya mata, 5 orang putera dan seorang puteri. Anakanda sulung Baginda, Tunku Ismail kini bergelar Tunku Mahkota Johor. Anakanda Baginda yang lain ialah Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.
Sepanjang berkahwin dengan DYMM Sultan Ibrahim, Baginda dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Isteri Tunku Mahkota Johor Raja Zarith Sofiah. Setelah kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada Januari 2010, Tunku Mahkota telah dimashurkan sebagai Sultan Johor dengan gelaran DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, manakala Tuanku Zarith Sofiah memakai gelaran DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.
DYAM TUNKU MAHKOTA
DULI YANG AMAT MULIA TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM
D.K., S.P.M.J, S.S.I.J, P.I.S
TUNKU MAHKOTA JOHOR
Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan merupakan putera sulung Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dan Dul Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah daripada enam orang adik-beradik.
Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail mendapat pendidikan awal persekolahan di Sekolah Sri Utama Johor Bahru dan di Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph, Johor Bahru dan seterusnya melanjutkan persekolahan di Australian International School Singapore. Pada tahun 1999, Duli Yang Amat Mulia Tunku melanjutkan pelajaran di Hale School, Perth, Australia sehingga akhir tahun 2002.
Antara sukan kegemaran Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ialah polo dan bola sepak. Kecemerlangan Duli Yang Amat Mulia Tunku dalam sukan polo amat terserlah. Kehebatan Duli Yang Amat Mulia berkuda terbukti jelas apabila Duli Yang Amat Mulia Tunku dianugerahi ‘Best In Riding‘ di Dehra Dun, India yang selanjutnya mengangkat kecemerlangan kepada ‘Indian Military Academy‘ (I.M.A). Kini DYAM Tunku Mahkota Johor bergiat aktif dalam bidang bola sepak. Selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sejak 16 Februari 2012, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah membangun, menerajui dan mengangkat pasukan bola sepak Johor ke tahap berprestasi tinggi dan disegani. Kecemerlangan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail dalam bidang bola sepak semakin menyerlah apabila dilantik sebagai Penasihat kepada Presiden FAM pada 3 Oktober 2014.
Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail pernah dilantik sebagai pemangku Raja Johor, kali terakhir pada 29 September 2012. Selaku Pemangku Raja Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah meraih ilmu dan pengalaman memerintah negeri dan sekali gus memantau dan melihat sendiri hal dan keadaan rakyat negeri Johor. Begitu juga penyertaan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail dalam siri program Kembara Mahkota Johor (KMJ) telah memberi peluang keemasan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail bertemu dan bersera serta menjalin hubungan silaturahim dengan rakyat negeri Johor.
YM CHE’ PUAN KHALEEDA BINTI BUSTAMAM
YANG MULIA CHE’ PUAN KHALEEDA BINTI BUSTAMAM
S.P.M.J
YM Che’ Puan Khaleeda yang dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Hospital Besar Kuala Lumpur merupakan anakanda yang kelima pasangan ayahanda Bustamam Bin Daud dan bonda Aziyah Binti Abdul Aziz. YM Che’ Puan Khaleeda adalah anak bongsu daripada lima orang adik-beradik iaitu dua orang perempuan dan dua orang lelaki.
YM Che’ Puan Khaleeda menerima asuhan pelajaran awalan di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Seri Gombak Selangor pada tahun 2001 hingga 2003. Semasa kecil lagi perwatakan, kecergasan dan kecenderungan beliau telah terserlah dengan perlantikannya sebagai seorang pengawas di sekolah tersebut. YM Che’ Puan Khaleeda mengambil bahagian aktif dalam sukan khasnya sukan larian. Kecenderungannya dalam aktiviti tarian membolehkan YM Che’ Puan Khaleeda mewakili sekolahnya dalam seni tari.
YM Che’ Puan Khaleeda Binti Bustamam telah mendirikan rumahtangga dengan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor pada hari Jumaat, 24 Oktober 2014. YM Che’ Puan Khaleeda telah dikurniakan Darjah Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) pada 15 Mac 2015 oleh DYMM Sultan Johor.




No comments:
Post a Comment